Rabu, 23 Mei 2007

هرڬ ڤرودوق تاني تيدق ناءيق


ڤوتراجاي ٢٣ مي – كمنترين ڤرتانين دان ايندوستري اساس تاني اكن بكرجاسام دڠن كمنترين ڤرداڬڠن دالم نڬري دان حال إيهول ڤڠڬونا (قڤدنهيڤ) باڬي ممستيكن ڤرودوق براسسكن ڤرتانين دان ماكنن منچوكوڤي دان تيدق دينااقكن هرڬ.

بريتا سلانجوتڽ دري اوتوسن

ابوايمان :

بنرله تلهن يڠ دبوات سبلوم اين، كناءيقن ڬاجي كاكيتاڠن اين اكن هاڽ د راسا اوليه سيجوتا كاكيتاڠن كراجأن، سداڠكن ببنڽ ترڤقسا دتڠڬوڠ اوليه سلوروه لبيه ٢٥ جوت رعيت مليسيا. سوك اتاوڤون تيدق، كناءيقن هرڬ بارڠن د ڤاسرن تله ڤون برلاكو، نامون باڬايمان ڤكبون كچيل، ڤتاني، نيلين دان سبيلڠن بسر رعيت مليسيا ممڤو منمڤوڠ كناءيقن هرڬ بارڠن اين دالم كادأن ڤنداڤتن مريك يڠ برادا ڤد تاكت يڠ سم...

سام-سام له كيت فيكيركن...

Harga produk tani tidak naik

PUTRAJAYA 23 Mei – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan produk berasaskan pertanian dan makanan mencukupi dan tidak dinaikkan harga.

Berita selanjutnya dari Utusan

Abuiman :

BEnarlah telahan yang dibuat sebelum ini, kenaikan gaji kakitangan ini akan hanya di rasai oleh sejuta kakitangan kerajaan, sedangkan bebannya terpaksa ditanggung oleh seluruh lebih 25 juta rakyat Malaysia. Suka ataupun tidak, kenaikan harga barangan di pasaran telah pun berlaku, namun bagaimana pekebun kecil, petani, nelayan dan sebilangan besar rakyat Malaysia mampu menampung kenaikan harga barangan ini dalam keadaan pendapatan mereka yang berada pada takat yang sam...

Sama-sama lah kita fikirkan...

Selasa, 22 Mei 2007

چرامه مولداوررسول

چرامه مولداوررسول
اوليه : است حاج عبدالغني شمس الدين
(بكس يڠ دڤرتوا ڤرساتوان علماء مليسيا)
تاريخ : ٢٦ مي ٢٠٠٧ (سبتو)
ماس : ٩.٠٠ مالم
تمڤت : ڤكن سوڠاي بالڠ، موار

CERAMAH MAULIDURRASUL

CERAMAH MAULIDURRASUL
OLEH : Ust Haji Abdul Ghani Shamsudin
(Bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia)
Tarikh : 26 Mei 2007 (Sabtu)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Pekan Sungai Balang, Muar

١ جوت داڤت منفعة، ٢٤ جوت هيدوڤ ترتكان

دالم ڤد رعيت مليسيا هاري اين هيبوه ممڤركاتاكن سؤال كناءيقن ڬاجي لبيه سيجوتا كاكيتاڠن عوام، ترداڤت لبيه ٢٤ جوت لاڬي رعيت مليسيا يڠ تيدق منداڤت منفعة دري كناءيقن ترسبوت تتاڤي ترڤقسا منڠڬوڠ ببن عقيبة كناءيقن هرڬ بارڠن. مسلن يوسف مڠوڤاس ڤرسؤالن اين دالم حراكهدايلي.
اڤ ڤولا بنتوق ڬولا-ڬولا اونتوق ڬولوڠن اين؟؟؟

1 juta dapat manfaat, 24 juta hidup tertekan

Dalam pada rakyat Malaysia hari ini heboh memperkatakan soal kenaikan gaji lebih sejuta kakitangan awam, terdapat lebih 24 juta lagi rakyat Malaysia yang tidak mendapat manfaat dari kenaikan tersebut tetapi terpaksa menanggung beban akibat kenaikan harga barangan. Maslan Yusof mengupas persoalan ini dalam Harakahdaily

Apa pula bentuk gula-gula untuk golongan ini???

Isnin, 21 Mei 2007

٣٨ ڤلاجر اڤتا كنا تيندقن


جيلي: سناراي ڤمبابيتن ڤلاجر اينستيتوسي ڤڠاجين تيڠڬي عوام يڠ مڽوكوڠ ڤرتي ڤمباڠكڠ دڠن بركيمڤين سچارا اكتيف ڤد ڤيليهن راي كچيل ديوان اوندڠن نڬري كاوسن مچڤ دان اجوك دسراهكن كڤد جاوتنكواس ڤمنتاو ڤريڠكت كمنترين اونتوق دأمبيل تيندقن.

دري بريتا هارين ثلاث ٢٢ مي ٢٠٠٧

دي ڤي ڤي موار : اينله هاسيل كتربوكان كراجأن دالم اوسها ملاهيركن ڤلاجر يڠ كرياتيف دان ماتڠ. هالڠن-هالڠن سڤرتي اين مروڤاكن ڤركارا يڠ ممبري سومبڠن بسر كڤد كلسوان ڤلاجر خصوصڽ د اڤت.

سأندايڽ مريك بنر-بنر إخلاص، مريك تيدق سڤاتوتڽ مڠمبيل تيندقن كڤد ڤلاجر يڠ مڽوكوڠ ڤمباڠكڠ سمات-مات، نامون تيندقن يڠ سام جوڬ توروت ڤرلو دأمبيل كڤد ڤالجر يڠ منجادي الت كڤد جنترا بن. نامون اڤ ڤولا تيندقن كراجأن ترهادڤ ڤلاجر يڠ دري ڬولوڠن اين؟؟؟

هاسيل دري كوڠكوڠن سڤرتي اين، لاهيرله ڤلاجر-ڤلاجر يڠ جومود، تيدق امبيل ڤوسيڠ اڤ جوا ايسو ناسيونل يڠ برلاكو دڠن السن مريك تيدق ممڤو ملاكوكن اڤا٢.

يڠ ڤليقڽ، اڤابيلا مسئله كلسوان ڤلاجر اين د تيمبول دان ور-وركن، مريك مڽلهكن ڤالجر كران كاتڽ تيدق ڤيكا دڠن ڤركمبڠن سماس دالم نڬارا.

38 pelajar IPTA kena tindakan

JELI: Senarai pembabitan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyokong parti pembangkang dengan berkempen secara aktif pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Machap dan Ijok diserahkan kepada Jawatankuasa Pemantau peringkat kementerian untuk diambil tindakan.

Berita Penuh Dari Berita Harian Selasa 22 Mei 2007

DPP Muar : Inilah hasil keterbukaan kerajaan dalam usaha melahirkan pelajar yang kreatif dan matang. Halangan-halangan seperti ini merupakan perkara yang memberi sumbangan besar kepada kelesuan pelajar khususnya di IPT.

Seandainya mereka benar-benar ikhlas, mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan kepada pelajar yang menyokong pembangkang semata-mata, namun tindakan yang sama juga turut perlu diambil kepada palajar yang menjadi alat kepada jentera BN. Namun apa pula tindakan kerajaan terhadap pelajar yang dari golongan ini???

Hasil dari kongkongan seperti ini, lahirlah pelajar-pelajar yang jumud, tidak ambil pusing apa jua isu nasional yang berlaku dengan alasan mereka tidak mampu melakukan apa-apa.

Yang peliknya, apabila masalah kelesuan pelajar ini di timbul dan war-warkan, mereka menyalahkan palajar kerana katanya tidak peka dengan perkembangan semasa dalam negara.

ڬاجي كاكيتاڠن عوام ناءيق سهيڠڬ ٣٥ ڤراتوس

Gaji Kakitangan Awam Naik Sehingga 35 Peratus

Hari ini merupakan hari gembira kepada sebahagian kakitangan awam dan keselamatan bila diumumkan kenaikan gaji sehingga 35 peratus bagi kakitangan awam dan 42 peratus bagi kakitangan keselamatan.

Namun manisnya kenaikan ini pastinya tidak begitu dirasakan disebabkan kenaikan harga barang yang mendahului kenaikan tersebut samada kenaikan secara rasmi bagi barangan kawalan iaitu tepung sepertimana yang diumumkan oleh Shafie Apdal pada 15 Mei lalu. Dan yang lebih pasti adalah, selepas ini kenaikan ini akan turut di iringi dengan kenaikan harga barangan lain satu demi satu. Yang terus menjadi mangsa adalah rakyat yang bekerja di sektor swasta, berkebun, nelayan dan sebagainya. Mereka tidak menikmati apa-apa kenaikan seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam, namun mereka turut terpaksa menanggung akibat kelemahan kerajaan mengawal kenaikan harga barangan.

Gaji Kakitangan Awam Naik Sehingga 35 Peratus.

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini.

Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.

Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40), dinaikkan 25 peratus, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dinaikkan 15 peratus, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dinaikkan 7.5 peratus.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu pada perhimpunan Hari Pekerja sektor awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini

رايوان كيس سوبشيني تيدق منجواب ايسو سبنر RAYUAN KES SUBASHINI TIDAK MENJAWAB ISU SEBENAR

Petikan dari LawyerPAS.blogspot.com

Sunday, May 20, 2007
RAYUAN KES SUBASHINI TIDAK MENJAWAB ISU SEBENAR
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Di dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, peguam Subashini telah mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah.

Saya berpendapat sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan tersebut tidak menjawab isu sebenar . Isu sebenar adalah adakah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) selaras atau bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,artikel yang melarang diskriminasi .

Isu tersebut sepatutnya harus diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 51 secara jelas mendiskriminasi pihak yang beragama Islam kerana seksyen tersebut melarang pihak yang beragama Islam ( sama ada suami atau isteri ) untuk pergi ke Mahkamah Sivil bagi mendapatkan perintah penceraian di atas alasan beliau telah memeluk Islam.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

“ Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah.”

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) , Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:

“ Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian.”

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa “ satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; “ pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara.”

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

“Mahkamah” di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah .

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54 (b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi ;

b.“Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato’ Suriyadi dan Dato” Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato’ Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie .

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

“ I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions”.

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah .

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, “ Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness.”

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. -

Ahad, 20 Mei 2007

كونجوڠن هيزب تهرير Kunjungan Hizb Tahrir

جمعة لالو (١٨ مي ٢٠٠٧) كيرا-كيرا جم ٤.٠٠ ڤتڠ، كتوا دي ڤي ڤي موار، سدر رازق منريما كونجوڠن دري دوا اورڠ واكيل هيزب تهرير موار. كونجوڠن ترسبوت دوبوات اونتوق بركوڠسي ڤنداڤت دان ڤنداڠن. سدر رازق برسام كتوا ڤنراڠن دي ڤي ڤي موار منريما كحاضيرن مريك دڠن ڤنوه مسرا. سكاليڤون سكالي سكالا ڤربينچڠن اڬق هاڠت، نامون كسلوروهنڽ ڤرتموان ترسبوت برلڠسوڠ دڠن ڤنوه هرموني.موڠكين ڤرتموان-ڤرتموان سوسولن اكن تروس برلڠسوڠ دري سماس ك سماس اونتوق ساليڠ برتوكر-توكر ڤنداڠن دان ڤنداڤت
. سموڬ اسلام تروس ڬيميلڠ...

Jumaat lalu (18 Mei 2007) kira-kira jam 4.00 petang, Ketua DPP Muar, Sdr Razak menerima kunjungan dari dua orang wakil Hizb Tahrir Muar. Kunjungan tersebut dubuat untuk berkongsi pendapat dan pandangan. Sdr Razak bersama Ketua Penerangan DPP Muar menerima kehadiran mereka dengan penuh mesra. Sekalipun sekali sekala perbincangan agak hangat, namun keseluruhannya pertemuan tersebut berlangsung dengan penuh harmoni.

Mungkin pertemuan-pertemuan susulan akan terus berlangsung dari semasa ke semasa untuk saling bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

Semoga Islam Terus Gemilang...

Isnin, 14 Mei 2007

اصول دي ڤي ڤي موار ك مؤتمر دي ڤي ڤينج

مؤتمر ديوان ڤمودا ڤاس يڠ برلڠسوڠ ڤد ٥ دان ٦ مي لالو د باتو ڤاهت مڽقسيكن اصول دي ڤي ڤيق موار د تريما اونتوق دبحثكن ددالم مؤتمر ترسبوت.اصول يڠ مڽنتوه كبيادبن ڤرتي ڬرقن مليسيا يڠ چوبا مڽنتوه سينسيتيۏيتي اومت اسلام د نڬارا اين دڠن مندسق اڬر مفتي ڤراق د ڤچت دسمڤيڠ منچادڠكن اڬر د ووجودكن سبواه محكمه خاص اونتوق ممبيچاراكن كيس-كيس يڠ مليبتكن تونتوتن انتارا اڬام.اصول ترسبوت تله دتريما سبولت سوارا ستله دبنتڠكن اوليه تيمبالن كتوا ديوان ڤمودا ڤاس كاوسن موار، است اضحى بن سليمان دان دبحثكن اوليه ڤرواكيلن-ڤرواكيلن دري كاوسن لاين.

DPP Muar Dalam Muktamar DPPNJ


Sebahagian perwakilan DPP Muar dalam Muktamar DPPNJ yang berlangsung pada 5 dan 6 Mei 2007 di Batu Pahat.

Usul DPP Muar ke Muktamar DPPNJ

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung pada 5 dan 6 Mei lalu di Batu pahat menyaksikan usul DPPK Muar di terima untuk dibahaskan didalam muktamar tersebut.

Usul yang menyentuh kebiadaban Parti Gerakan Malaysia yang cuba menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini dengan mendesak agar Mufti Perak di pecat disamping mencadangkan agar di wujudkan sebuah mahkamah khas untuk membicarakan kes-kes yang melibatkan tuntutan antara agama.

Usul tersebut telah diterima sebulat suara setelah dibentangkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Muar, Ust Adha Bin Sulaiman dan dibahaskan oleh perwakilan-perwakilan dari kawasan lain.