Selasa, 31 Julai 2007

Terima Kasih TV3

Sejak Hari isnin 30 Julai 2007, TV3 telah membuat liputan berkenaan keadaan Empangan Bekok yang dikatakan telah di rosakkan dengan teruk. Walaupun sangat lambat isu ini di bangkitkan oleh TV3, namun sekurang-kurangnya satu usaha telah diambil diperingkat media untuk isu ini di ambil perhatian oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Sebenarnya disamping Empangan Bekok, empangan-empangan lain turut terjejas akibat kerakusan pihak-pihak tertentu. Antaranya termasuk Empangan Machap dan Semberong

Diperingkat Dewan Pemuda PAS, perkara ini telah ditimbulkan iaitu sejak tahun 2005 melalui Memorandum yang di hantar kepada Menteri Besar Johor. Disamping itu selepas tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berwajib, satu Laporan Polis telah dibuat kerana bimbangkan keadaan empangan ini semakin terancam.

Selain dari itu, sewaktu banjir besar melanda negeri Johor baru-baru ini, Tengku Mahkota, Tengku Ibrahim Ismail turut menegur pengurusan Empangan Semberong yang dilihat sangat lemah.

Apa pun adalah diharapkan agar tindakan segera dapat diambil oleh semua pihak untuk memastikan agar sumber air ini agar dapat dipulihkan secepat mungkin sebelum ianya menjadi bertambah kronik

Ahad, 29 Julai 2007

Jamuan MTD Maharani


Majlis Tindakan DUN Maharani telah mengadakan majlis Jamuan untuk para petugas dan penduduk di sekitar kawasan DUN Maharani. Majis yang di adakan di Pekan Parit Bakar telah berlangsung dengan penuh kemeriahan. Sepanjang jamuan berlangsung dari jam 11 pagi hingga jam 4.00 petang, orang ramai hadir silih berganti memenuhi hampir keseluruhan meja yang disediakan.

Syabas Jentera MTD Maharani

Unit AMAL jadi penggali kubur

Antara tugasan UNIT AMAL Kawasan Muar

Sabtu, 28 Julai 2007

Himpunan Petugas Pilihanraya


Hari ini (Ahad) 29 Julai 2007 telah berlangsung satu himpunan petugas Pilihanraya yang telah diadakan di Markas PAS Kawasan Parit Sulong. Program ini berjaya mengumpulkan hampir satu ribu petugas. Diharapkan agar program ini akan dapat merangsang semangat para petugas untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Kerja-Kerja Memasang Papan Tanda MTD Maharani

Jumaat, 27 Julai 2007

Bekerja tak kira masa


Para petugas PAS sedang bekerjasama memasang papan tanda Bilik Gerakan Majlis Tindakan DUN Maharani. Jamuan rakyat DUN Maharani akan diadakan pada 29 Julai ini (Ahad). Semua orang dijemput untuk menghadiri jamuan ini. Sehingga jam 12.30 pagi para petugas masih sibuk melaksanakan kerja masing-masing termasuk kerja-kerja mengemas ruangan pejabat.

Perasmian PAS Cawangan PAJAR


Alhamdulillah satu lagi cawangan PAS di Kawasan Muar telah disahkan pendaftarannya yang pembukaannya dirasmikan oleh Tuan Haji Abu Musa, Mantan Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar pada 27 Julai 2007. Pembukaan cawangan ini telah memecah satu lagi kubu UMNO dan menafikan cakap-cakap kononnya semua orang di kawasan ini menyokong UMNO.

Didalam majlis perasmian PAS Cawangan Parit Amal Jalan Abdul Rahman ini menyaksikan kira-kira 60 orang hadir. Perkembangan ini merupakan suatu perkembangan yang positif dalam perjuangan PAS Kawasan Muar khususnya.

Kepada seluruh Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli PAS Cawangan PAJAR ini khususnya, saya mengucapkan selamat berjuang dan mendapat keberkatan dari Allah. Semoga Allah membuka jalannya untuk kita meraih kemenangan di jalanNya.

Rabu, 25 Julai 2007

Jumaat, 20 Julai 2007

Ceramah Ust Salehin Mohyi Dapat Sambutan

Kira-kira 200 penduduk sekitar Kampung Sungai Sudah hadir dalam Ceramah oleh Ustaz Salehin Mohyi, EXCO Pemuda PAS Pusat dan Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat yang diadakan di sini pada hari Jumaat 20 Julai 2007.

Berdasarkan rekod, ceramah ini merupakan ceramah pertama yang diadakan di kampung ini dan kehadiran pada malam ini agak membanggakan. Semoga program-program selepas ini akan mendapat sambutan yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Disamping itu satu pertandingan Ping-Pong telah diadakan di sebelah petang untuk para remaja dikawasan berhampiran. Ustaz Salehin Mohyi telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan tersebut.

Khamis, 19 Julai 2007

Menteri Besar Kelantan Mengimami Solat Jenazah Perwira

Akhirnya semua jenazah pahlawan negara yang meninggal dunia dalam tragedi Pesawat Nuri di Gunung Bunga berhampiran Genting Sempah selamat disempurnakan. Mereka adalah Kapten Norazlan Temuzi yang di semadikan di Bukit Kiara, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof di kebumikan di Butterworth dan Sjn Khusnizam Ariffin di semadikan di Bunut Payung, Kota Bharu. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat Jenazah Sarjan Udara Khusnizam Ariffin di sebelum di kebumikan.

Sehari sebelum itu Sjn Mohd Azmie Md Yassin dikebumikan di Kampung halamannya di Melaka dan Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dikebumikan di Muar. (Gambar dari Utusan Malaysia 20 Julai 2007)

Keperihatinan Seorang Raja


Keperihatinan seorang pemimpin disaat rakyatnya ditimpa musibah pastinya sedikit sebanyak mampu mengurangkan kepedihan dan kesedihan setelah ditinggalkan orang yang tersayang. Apatah lagi pemergiannya secara mengejut dan mengharukan.

Begitulah yang dapat dilihat dari kunjungan di Raja apabila kedua-dua Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong berserta Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong berangkat mencemar duli untuk menziarahi jenazah para juruterbang yang terkorban dalam nahas Pesawat Nuri di Hospital Kuala Lumpur Selasa lalu benar-benar menyaksikan keperihatinan kedua-dua baginda terhadap kesedihan rakyatnya.

Gambar yang disiarkan oleh media-media utama negara bagaimana seorang Permaisuri Agong memeluk rakyatnya benar-benar merupakan memaparkan jiwa dan keperihatinan baginda. Pada masa yang sama baginda turut menitiskan air mata dan merasai kesedihan yang dideritai oleh Isteri Allahyarham Laskar Udara Kanan Saifullizam Alias yang berasal dari Muar.

Sekali lagi persoalan diwaktu rakyat sedang berkabung atas kematian 6 perwira negara ini, dimanakah perdana Menteri Al Hadhari berada? Khabarnya beliau bersama isteri sedang bercuti di Luar negara. Sekali lagi beliau menunjukkan sikap tidak perihatin terhadap masalah rakyat. Kali pertama beliau hanya berada sejam bersama mangsa banjir di Johor Januari lalu sebelum terbang juga ke Australia. Khabarnya untuk merasmikan sebuah restoran nasi kandar.

Selasa, 17 Julai 2007

Al Fatihah. Takziah Kepada Keluarga Semua Perajurit Yang Terkorban

Penantian penuh debaran seluruh keluarga 6 anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia yang berada didalam Pesawat Nuri Sikorsky S61A-4 berakhir semalam apabila kesemua mereka disahkan terkorban didalam nahas berkenaan. BERNAMA melaporkan bahawa pesawat Nuri berkenaan di temui di kawasan kira-kira 5 kilometer di barat laut Genting Sempah kira-kira jam 1.24 petang.

Gerakan mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima semalam akhirnya menemui mayat berkenaan melalui jalan darat. Namun begitu, usaha mengeluarkan jenazah semua anggota berkenaan menghadapi kesukaran akibat hutan yang tebal.

Mereka yang terkorban dalam tragedi ini adalah juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

Namun begitu, satu kebiasaan yang kurang menyenangkan bagi anggota keluarga masih berlaku pada kali ini apabila anggota keluarga mendapat berita kejadian ini melalui Media dan bukan melalui sumber rasmi. Adalah lebih manis dan lebih baik seandainya mereka dimaklumkan mengenai penemuan dan juga nasib kesemua anggota keluarga mereka lebih awal dari media. Mungkin pihak-pihak yang berkenaan perlu memperbaiki keadaan ini pada masa yang akan datang

Apa pun Takziah diucapkan kepada semua anggota keluarga ke enam-enam pahlawan negara yang meninggal dunia didalam tragedi ini. Marilah sama-sama kita menghadiahkan AlFatihah untuk mereka dan berdoa semoga roh mereka ditempatkan Allah dari kalangan hambanya yang soleh.

Al Fatihah.

Dimana Keperihatinan Perdana Menteri?

Hari ini (Rabu 18 Julai 2007) menyaksikan satu sejarah sedih dalam negara kita apabila 6 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia disahkan terkorban dalam satu lagi tragedi udara melibatkan pesawat Nuri.


Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin di beritakan telah sudi mencemar duli untuk menziarahi jenazah anggota-anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia yang terkorban di Hospital Kuala Lumpur pagi ini. Baginda bersama Permaisuri Agong tiba di perkarangan Hospital Kuala Lumpur dengan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Turus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Keperihatinan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ini benar-benar memperlihatkan sifat Baginda yang mengambil berat masalah yang berlaku kepada rakyatnya. Namun apa yang menimbulkan tandatanya adalah dimanakah keperihatinan Perdana Menteri kita, Abdullah Ahmad Badawi? Dimanakah beliau berada disaat jasad para pahlawan tersebut akan disempurnakan?

Ahad, 15 Julai 2007

Cara Zainuddin Maidin Berfikir Semakin Terserlah

Akhbar Utusan Hari ini menyiarkan kenyataan Zainuddin Maidin yang memperlekeh desakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengharamkan filem Almighty yang dikatakan mempersendakan Allah dan Nabi Musa. alasan beliau cukup mudah. Kalau diharamkan pun filem tersebut, rakyat Malysia masih boleh menontonnya melalui Internet.

Seandainya itu dijadikan hujjah. Apa perlunya diharamkan dadah? Kerana para penagih masih boleh mendapatkan dadah dari pasaran yang entah dari mana datangnya. Mungkin KDN perlu mengkaji pandangan Zainuddin Maidin ini. Seandainya ianya releven, mungkin langkah menarik balik pengharaman dadah sesuai untuk memberikan pendapatan tambahan keatas cukai dadah yang boleh dikenakan yang pastinya lebih tinggi berbanding dengan cukai rokok dan arak.

Mungkin Johari Bahrom boleh bincang dengan Abdullah Badawi tentang isu ini, disamping berbincang soal kedudukan Musa Hassan yang sudah kelihatan tidak bersih, atau semakin kelihatan tidak bersih.

Sabtu, 14 Julai 2007

Satu Lagi Penyalahgunaan Undang-Undang




Khamis, 12 Julai 2007

PEMUDA PEWARIS PIMPINAN

Firman Allah s.w.t;

4. la merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; danAku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadamu.

5. Dan Sesungguhnya Aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

6. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai".


A. RATAPAN JIWA SEORANG PEMIMPIN


Demikianlah bunyi ratapan jiwa Nabi Allah Zakaria, seorang Nabi, seorang peminpin tetakala ia melihat kekuatannya sudah sekian kekurangan, saat ia akan meninggalkan dunia yang fana ini semakin terasa kian dekat. Beliau khuwatir mengingatkan ummat yang dipimpinnya apabila beliau sudah tidak ada lagi. Beliau khuwatir patah tidak akan tumbuh dan hilang tidak akan berganti. Maka doa yang diratapi oleh jiwa yang soleh dari Nabi Allah Zakaria itu sebenarnya patut menjadi ratapan jiwa kita juga yang memegang amanah pimpinan ummat di lapangan agama, politik bahkan di lapangan apapun untuk kepentingan dan kemuslihatan ummat.

B. MENCANAI PELAPIS

Islam bukanlah merupakan al-Din untuk gulungan almutafaarijin ataupun mutaqa'idin, tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif yang sentiasa melahirkan hasil (natijah) dan tidak bersifaatjumud.


Ini tanggungjawab yang sangat berat yang dipikul dalam era 'as sohwah al Islamiyyah' yang memerlukan kepada golongan syabab melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid, yang menjadi satu kumpulan junud. Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim yang rapi dan amal yang mutawasil bagi mencanai pelapis kepimpinan muda, dalam bentuk tanzim amal jama'e. la hanya boleh dicapai dalam tekanan pertanggungjawab yang dipikulkan atas dirinya baik kecil atau besar. Tanggungjawab adalah ujian untuk mencanai bakat samada ia boleh berkembang atau akan patah di tengah jalan. Ini bergantung kepada persiapan dan watak yang ada padanya dan kepada kemampuannya menggunakan pengaJaman dan buah fikiran orang-orang yang telah dulu, begitu juga kepada akhlaknya.


Tugas pimpinan adalah membentuk tenaga penyambung pimpinannya supaya jangan terputus. Biarkan ada persambungan antara tunas yang akan berkembang dengan pelepah yang akan turun. Ini adalah syarat mutlak bagi kelanjutan perjuangan.

Bukanlah menjadi kemegahan yang hakiki bagi seseorang pemimpin kalau pimpinannya berjalan dengan baik sehingga nama organisasinya berpengaruh di hati rakyat tetapi di satu saat manakala beliau sudah tidak ada lagi segala sesuatunya menjadi kacau bilau, ummat yang di bawahnya berada di dalam kebingungan. Sebab iru menyuburkan tumbuhnya pengganti yang akan menyambung pimpinan kelak adalah kewajipan yang sangat utama bagi seorang pemimpin.

C. PEWARIS PIMPINAN


Allah telah memperkenankan doa Nabi Allah Zakaria dengan mengurniakan seorang anak bernama Yahya, yang akan menyambung warisannya sebagai pemimpin ummat. Maka bagi melayakkan Nabi Yahya sebagai pemimpin, Tuhan memberikan bekalan kepadnya seperti kisah berikut:

72. "Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! dan Kami berikan kepadanya hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
73. dan (Kami mengurniakannya) rasa belas kasihan yang mendalam kepada manusia dari sisi Kami dan orangyang bersih dari dosa dan ia adalah seorang yang bertakwa.
14. dan ia adalah seorang ynag berbakti kepada kedua ibu bapanya. dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
15. dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hah ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).

Itulah dia lapan perkara yang dibekalkan oleh Allah kepada Nabi Allah Yahya yang akan dijadikan pegangan semasa melaksanakan tugas sebagai pemimpin sepeninggalan ayahnya Nabi Allah Zakaria, Oleh kerana kita menyakini bahawa perjuangan yang kita lakukan dalam parti ini adalah lanjutan daripada perjuangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang dahulu iaitu perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini akan sayugialah kita yang menjadi ahli waris mereka kalau hendak jadi pemimpin, mempedomani garis-garis yang telah dibentangkan seperti tersebut dalam kisah yang diceritakan itu.

D. PENUTUP

Wahai pemuda-pemuda Islam! Kamu sangat-sangat dituntut supaya bekerja dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh. Rasa lemah, malas dan sifat tunggu dahulu, jangan dibiarkan wujud di dalam jiwa kamu. Terus maralah kamu dalam perjuangan!

104. dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuhmu itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan Yang baik pada hari akhirat kelak), dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Disediakan oleh Ustaz Haji Abu Bakar Bin Lajat, Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar

Isnin, 9 Julai 2007

Perginya Seorang Aktivis PAS Kawasan Muar


Pagi ini ahli-ahli PAS Kawasan Muar di maklumkan bahawa saudara Nasir Ismail yang kemalangan pada 18 Jun 2007 yang lalu telah dipindahkan semula ke Hospital Muar setelah lebih 2 minggu dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Berita kemalangan tersebut turut disiarkan di blog ini pada 19 Jun yang lalu. Berita tersebut disambut dengan penuh kegembiraan kerana ianya pasti merupakan satu petanda bahawa beliau semakin pulih.

Namun kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 12 tengahari. Turut sama berada di Hospital pada waktu itu adalah Saudara Mustafha Abdul Rahman, Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Muar. Setelah dimaklumkan bahawa jenazah dijangka tiba di rumahnya di Parit Kangkong, Parit Jawa selepas Solat Asar, ramai dari kalangan ahli dan sahabat handai telah berkumpul dirumah beliau untuk menziarahi jenazah dan memberikan penghormatan terakhir.

Akhirnya Jenazah Allahyarham Saudara Nasir tiba kira-kira jam 6 petang sebelum dimandi dan dikafankan. Solat Jenazah diimami oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar, Ustaz Abu Bakar Bin Lajat dengan ratusan Jemaah sehingga melimpahi halaman rumah beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya dan ditempatkan beliau dari kalangan hambanya yang Soleh.

Kaulah Sahabat Kaulah Teman


Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu Bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu Menghiburkan kami
Memori indah kita bersama Terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah di atas kehendak Yang Esa

Ya Allah Tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang diKau janjikan nikmat Untuk hambaMu
Sahabatku Akan kuteruskan perjuangan ini
Walau kutahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahgia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatihah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solihin
Kau sahabatku kau teman sejati

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir Yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Lagu : Hijjaz

Ahad, 8 Julai 2007

CERAMAH PERDANA
Saudara Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat
Bersama
Ustaz Salehin Mohyi
EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat
Pada
Tarikh : 20 Julai 2007 (Jumaat)
Tempat : Sungai Sudah Darat
Masa : 9.00 Malam

Gunakan ISA ke atas pengendali blog?


Cadangan penggunaan ISA keatas blogger benar-benar merupakan satu cadangan yang menggambarkan kedangkalan pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO. Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengutarakan cadangan tersebut semalam di Batu Pahat.

Cadangan tersebut lebih dilihat sebagai usaha beliau untuk menzahirkan "kasih sayangnya" kepada Timbalan Perdana Menteri. Seandainya usaha tersebut diterima, ia lebih dilihat sebagai satu usaha untuk membunuh demokrasi secara terang-terangan.

Apa perlunya penggunaan ISA? Seandainya benar-benar penulis-penulis blog membuat fitnah kepada mana-mana individu, undang-undang sedia ada rasanya mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mengambil tindakan keatas penulis-penulis blog berkenaan. Penggunaan akta tidak bertamadun ini benar-benar dilihat tidak perlu.

Tidak cukupkah lagi ribuan isteri menjadi mangsa dengan terpaksa menanggung keluarga akibat suami-suami mereka menjadi mangsa akta rimba ini? Tidak cukupkah lagi ribuan anak seolah-olah menjadi yatim akibat peraturan barbarian ini? Mungkin Datuk Norza Zakaria perlu menjalani percutian di Kemunting bagi menyelami kesengsaraan mangsa-mangsa ISA tersebut.

Ceramah Saudara Mazlan Di Parit Gantong

Ceramah Saudara Mazlan Aliman, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangung di PASTI Parit Gantong tetap mendapat sambutan walaupun berlangsung dalam hujan lebat. Pendengar yang hadir memenuhi ruang dewan PASTI dan juga ruang tamu tuan rumah. Antara lain, saudara Mazlan membentangkan persoalan kadar jenayah yang sangat membimbangkan pada hari ini.

Selain dari bilangan kes yang semakin bertambah, perlakuan jenayah yang berlaku turut menyaksikan perlakuan yang semakin kejam. Bagaimana kes yang mangsanya bukan setakat dibunuh, tetapi mangsa tersebut turut di bakar, dicincang dan sebagainya.

Saudara Mazlan mengajak seluruh umat Islam khususnya dan seluruh warga negara Malaysia amnya untuk berazam mengubah sistem pemerintahan yang sudah terbukti gagal membentuk rakyat yang baik dan berakhlak.

Khamis, 5 Julai 2007

Ceramah Perasmian PASTI oleh Ust Nasaruddin Tantawi Dapat Sambutan

Pada hari Khamis 5 Julai 2007, Jawatankuasa Bangunan Markas Al Takwa di Parit AMAL Jalan Jonid telah mengadakan program perasmian bangunannya berserta ceramah oleh Ust Nasruddin Hassan Tantawi. Program yang berlangsung bermula kira-kira jam 9.30 malam dengan bacaan Ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Haji Ahmad Bin Shamsudin. Turut serta dalam program berkenaan adalah Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar, Dr Haji Muhammad Bin Taslim, Setiausaha dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Muar.

Pengerusi pembangunan Markas dan PASTI Al-Taqwa, Ustaz Haji Hasbullah Bin Salleh dalam ucapan aluannya mengingatkan agar para ahli meletakkan PASTI sebagai pilihan pertama bagi memastikan agar seluruh generasi akan datang akan terpelihara.

Program perasmian tersebut turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Amin selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor yang juga merangkap Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar. Antara lain beliau menyentuh isu jenayah yang melanda negara. Terbaru adalah laporan akhbar dalam Harian Metro bagaimana seorang anggota POLIS membuat laporan POLIS mengenai tindakan pegawai atasannya yang cuba menghalangnya dari meneruskan siasatan terhadap satu kes samun yang berlaku.

Ustaz Nasruddin Hassan pula antara lain dalam ceramahnya menyebut peri pentingnya kita semua memahami perbezaan erti menyumbang dan juga berkorban. Sebagai ahli sebuah gerakan Islam, pengorbanan dalam diri perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa oleh setiap individu bagi menjamin masyarakat yang lebih sihat pada masa yang akan datang.

Rabu, 4 Julai 2007

Benarkah aduan ini?



Seandainya benar dakwaan bapa kepada pelajar ini, alangkah malangnya kita sebagai rakyat Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Mungkin inilah padahnya bila golongan yang tidak menitikberatkan soal agama dalam kehidupan menjadi pemimpin.

Sehinggakan persoalan hak mengerjakan solat pun boleh di nafikan, rasanya ini merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan perlu di siasat. Kerana kita hidup dalam negara yang Islam sebagai agama rasminya. Harap menteri berkenaan peka sikit dengan perkara ini.

Ahad, 1 Julai 2007

Penduduk berkhemah bantah pusat pembuangan sampah


Yong Peng, Isnin 2 Julai 2007. Penduduk-penduduk Kampung Seri Wangi, Parit Suratman, Kg Pinggir Dan Pt Senah di Yong Peng berkumpul sejak jam 7.30 pagi bagi membantah kerja-kerja pembuangan sampah berhampiran tempat tinggal mereka. Pusat pembuangan sampah tersebut yang mula beroperasi sejak Julai 2006 mula menimbulkan masalah beberapa bulan lalu dengan mengeluarkan bau busuk yang mampu menjangkau 5 kampung berhampiran sehingga pekan Parit Yaani. Selain dari itu, kewujudan tempat pembuangan sampah tersebut turut mengancam kesihatan penduduk setempat.

Dipercayai sampah-sampah yang dibuang di kawasan tersebut di angkut dari pasar-pasar berhampiran oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk melupuskan sampah-sampah berkenaan. Selain itu, penduduk turut mendakwa bahawa lori-lori sampah kontraktor pihak berkuasa tempatan turut membuang sampah di tempat berkenaan seawal jam 5 pagi lagi.

Wakil badan bertindak penduduk memaklumkan bahawa beberapa tindakan awal telah di buat sebelum ini termasuk menghantar bantahan kepada Majlis Daerah Yong Peng dan juga membuat laporan POLIS. Memandangkan tiada sebarang tindakan yang konkrit dari pihak berkenaan maka penduduk sepakat menggunakan jalan lain untuk mendesak agar tuntutan mereka di penuhi. Selain dari berkhemah di perimpangan menuju ke tempat pelupusan sampah tersebut, penduduk turut mengambil inisiatif menyewa sebuah jentolak dan melonggokkan tanah bagi menghalang laluan kenderaan ke pusat pembuangan sampah berkenaan.

Menurut salah seorang penduduk, En Shamsudin, mereka telah menggunakan bermacam-macam saluran untuk mendapatkan perhatian terhadap masalah yang mereka hadapi termasuk memanggil media cetak dan elektronik, namun usaha mereka tidak berjaya dan memaksa mereka menggunakan cara lain untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Penduduk turut melahirkan kekesalan dan menegaskan bahawa pintu rundingan telah tertutup bagi mereka dan matlamat mereka adalah agar pusat pelumpusan sampah tersebut di tutup dengan apa cara sekalipun. Mereka turut menegaskan bahawa mereka akan berkumpul di tempat tersebut selagimana permintaan mereka tidak dipenuhi.

Rombongan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang diketuai ketuanya Saudara Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil berserta Naib Ketua DPPNJ yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Suhaizan Bin Kaiat yang turut bersama-sama memberi sokongan moral kepada penduduk yang berhimpun. Turut serta adalah Setiausaha DPPNJ, Ketua Penerangan DPPNJ, YDP Seri Gading dan beberapa orang EXCO DPPNJ yang lain.

Program bersama remaja bermotor di Seri Gading


Pada hari Sabtu 30 Jun 2007, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor bersama Unit AMAL Johor telah mengadakan satu program bersama remaja bermotor di pekan Parit Raja. Program tersebut yang diadakan bertujuan untuk mengajak para remaja mengenali Unit AMAL dan PAS disamping mendedahkan mereka dengan teknik menunggang motosikal yang baik dan betul. Program tersebut yang dihadiri oleh Saudara Yasir Bin Said yang merupakan pelumba profesional dalam kategori Cub Prix dan superbike.

Saudara Yasir telah mengadakan klinik motor secara teori dan praktikal kepada para hadirin untuk memberi pendedahan kepada mereka cara penunggangan motosikal yang betul. Program yang dihadiri kira-kira 500 remaja turut diserikan dengan pertandingan motosikal cantik yang diadili sendiri oleh para pengunjung.