Khamis, 7 Mei 2009

1 MALAYSIA: PEMERINTAHAN ALA SAMSENG?

sivakumar being dragged abused manhandled by security unknown individual out perak state assembly chaos 070509 the best

Hari ini sejarah tercipta apabila Umno@BN mengupah samseng dan mengarahkan polis merampas kerusi speaker Dun Perak. Tindakan yang sama sekali menghina dan mencemar kesucian lambang demokrasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden manusia di mana-mana pun penjuru dunia.

Inilah gaya dan lagak samseng pemimpin Umno@BN yang kononnya mengutamakan rakyat. Mereka bersikap rakus dan mengamalkan tindakan ala gangster untuk menafikan pilihan rakyat dalam pilihanraya lalu. Apa yang berlaku begitu menjelik dan memalukan tindakan hodoh yang tidak berperikemanusiaan. Semua ini berlaku apabila pemimpin yang tidak amanah mementingkan tembolok dan nafsu nafsi dipilih untuk menerajui negara.

Apa yang berlaku bukan sahaja menghina sistem demokrasi tetapi juga mencemar nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Tak tahu apalah nasib agama, bangsa dan negara ini selagi pemimpin seperti ini dibiarkan bermaharajelala menerajui negara. Negara boleh hancur dan terlingkup apabila mereka menafsirkan undang-undang mengikut kamus dan kemahuan sendiri.

Petikan dari http://angkasanuri.blogspot.com/

Rabu, 6 Mei 2009

Naib Presiden PAS Mohammad Sabu Ditahan Polis



Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang ini di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu dekat Ipoh awal pagi esok.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.

Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.

Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.

Sewaktu dihubungi, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.

Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Beliau bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang menganjurkan program tersebut di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru.

Isteri pemimpin PAS itu, Normah Alwi berkata seorang pegawai polis berpangkat ACP menghubunginya petang ini dan memaklumkan bahawa Mohamad akan dibawa ke Slim River, Perak untuk ditahan reman esok.

"Benda (program solat hajat) belum jadi, kenapa tangkap?" katanya kepada Malaysiakini.

Petikan dari http://www.malaysiakini.com/

Isnin, 4 Mei 2009

Perhebatkan Usaha Nahi Mungkar

Petikan dari http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Mutaakhir ini kegiatan maksiat dan perlecehan akhlak atau moral semakin menjadi - jadi . Bermula dari gejala rempit yang tidak terkawal hinggalah kini penularan seks bebas yang tiada batas .

Sudah jenuh para alim ulama' memberi nasihat melewati kuliah , khutbah dan ceramah namun makin dinasihati makin menjadi - jadi . Larang seperti suruh dan lebih malang ada pihak yang sengaja menyuburkan perkembangan maksiat dalam negara ini.

Melalui industri perfileman , iklan dan program hiburan tanpa had batas dan kawal oleh pihak berkuasa agama , baja ditabur bagi mempercepatkan lagi proses pembenihan dan penumbuhan amalan mungkar dan maksiat .

Maksiat dan mungkar kini tidak lagi dianggap ancaman justeru ia sering berselindung disebalik hiburan yang digemari ramai . Malah para alim ulama' yang menegur sering ditohmah sebagai tidak berhikmah dalam dakwah , melanggar hak asasi dan sebagainya .

Saya melihat tahap pertumbuhan maksiat dan mungkar ini tidak lagi boleh dipandang ringan oleh siapa sahaja terutamanya kerajaan UMNO dan BN yang memerintah , termasuklah kerajaan PAKATAN Rakyat yang memerintah dibeberapa buah negeri .

Kemungkaran ini telah mencapai tahap merosakkan tamaddun dan mengancam keselamatan rakyat . Lihat sahaja episode seorang yang suka hidup berpoya dari kelab malam ke kelab malam , melanggan perempuan lacur dan terjebak dalam pengaruh alkohol serta dadah . Mereka hidup dalam memburu keseronokan yang palsu dan kepuasan yang buntu .

Akhirnya mereka menjadi abdi kepada nafsu lantas tanpa memikirkan implikasi ke atas diri , mereka terpaksa mencuri dan merompak bagi menyara diri dan mendapatkan suatu yang dianggap boleh memuaskan diri mereka . Bahkan mereka sanggup membunuh demi mendapatkan keperluan mereka dalam keadaan mereka separa sedar di bawah penguasaan atau pengaruh nafsu dan samsu .

Bagaimana kalau episode ini bukan dilalui oleh seorang tetapi puluhan ribu malah mungkin mencecah juta andai tidak dicegah segera . Negara kini terancam , namun apa yang sangat menyedihkan ialah apabila kerajaan terlalu ego untuk mengakui masaalah yang semakin serius ini atau sememangnya mereka tidak mempunyai sebarang kesedaran terhadap keperluan menjaga agama dan kesejahteraan ummah dari ternoda .

Sehari dua ini boleh kita saksikan sendiri bagaimana pihak polis terpaksa mengakui penguasaan mat rempit yang tidak lagi merasa bimbang dengan sekatan jalanraya sebaliknya mereka begitu teruja membelah sekatan jalanraya yang diadakan oleh pihak polis malah bertindak nekad dan berani merempuh kereta peronda polis .

Isu yang saya paparkan ini merentas sempadan politik dan ideologi yang dianut . Ia boleh melanda keluarga orang - orang yang sedia jahil agama dan ia boleh lolos masuk ke rumah Tok Imam , demikian juga ia boleh melibatkan ahli umno dan juga boleh berlaku dalam keluarga ahli PAS . Sebagaimana gejala maksiat dan mungkar ini boleh subur di negeri - negeri bawah pemerintahan UMNO dan BN dan boleh wujud di dalam negeri PAKATAN atau PAS seperti Kelantan .

Mahu atau tidak , satu tindakan bersepadu mesti diambil oleh semua pihak terutamanya kerajaan yang memerintah justeru tanggungjawab sedia terpangku di atas leher mereka disamping mereka memiliki kuasa dan kemudahan untuk bertindak .

Memperkayakan aktiviti - aktiviti spiritual yang membina jiwa dan mendidik insaniah rakyat , dalam masa yang sama menguatkuasakan undang - undang dan program pencegahan yang berkesan .

Amat lucu apabila saya mendengar kebuntuan pihak polis untuk menangani mat rempit yang kini menguasai bandar - bandar diseluruh negara . Berlumba tanpa memperdulikan keselamatan orang lain sehingga mereka melibatkan diri dalam kegiatan sosial yang bebas tanpa nilai dosa dan pahala .

Bermula dari Kota Bharu hingga ke Johor Bharu dan dari Seremban ke Bukit Kayu Hitam , gejala lumba haram dan sosial yang memualkan ini dapat dilihat dengan mudah dan berleluasa . Kenapa polis gagal bertindak ? kenapa kerajaan UMNO dan BN membiarkan sebegitu lama gejala ini bertapak dan menular seperti muntahan lava yang turun dari gunung .

Saya tidak nampak polis tidak mampu untuk bertindak . kalau mereka boleh belanja wang mencecah lebih 10 juta ringgit untuk mengerahkan pasukan polis bagi mengawal rakyat yang hanya mahu turun mengundi seperti di Kuala Terengganu , kenapa tidak mereka kerahkan pasuka polis dan FRU untuk turun melepaskan gas pemedih mata atau semburan air asid kepada mat rempit dan mereka yang berpeleseran di perkarangan kelab - kelab malam dalam keadaan mabuk di tengah ibu kota .

Kol. Jamil Khir dan Dr. Mashitah buat apa ? atau fatwa Mashitah dulu membuatkan kerajaan membiarkan sahaja gejala bohsia dan pelacuran bertambah ?

Dulu ada juga harapan kepada Islam Hadhari mengenangkan slogannya masih berbau Islam biarpun salah , hari ni apa yang boleh disandarkan oleh rakyat kepada One Malaysia ? Apa agenda islam dalam One Malaysia ?

Saya tunggu Kol. Jamil Khir dan Dr. mashitah turun berduet menjelaskan konsep perlaksanaan atau penghayatan Islam melalui One Malaysia . Saya cabar dan saya tunggu !

Khamis, 30 April 2009

Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama


Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama

KUALA KRAI, 30 April (Bernama) -- Presiden dan Timbalan Presiden dalam PAS perlu dipilih daripada kalangan ulama demi masa depan parti itu, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohamad Daud.

"Kita mahu jawatan nombor satu dan dua dalam PAS kekal disandang oleh kalangan ulama," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai pencalonan beberapa pemimpin tertinggi PAS menjelang muktamar agung itu dan lebih menarik tawaran beberapa pemimpin bukan kalangan ulama menawarkan diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Mohamad berkata jika kedua-dua jawatan itu tidak diberikan kepada pemimpin bertaraf ulama, beliau khuatir keadaan itu akan merosakkan PAS pada masa depan.

Justeru, beliau tetap mempertahan kepimpinan ulama dalam barisan kepimpinan PAS pada pemilihan di muktamar agung parti itu di Shah Alam, Selangor, Jun ini.

Ditanya mengenai saf kepimpinan yang ada sekarang, Mohamad berkata kedudukan itu wajar dikekalkan tetapi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya boleh diserahkan kepada pemimpin daripada kalangan profesional atau ulama.

"Tak perlu pertikailah untuk jawatan lain itu. Jawatan lain tidak penting, kecuali untuk nombor satu dan dua," katanya.



-- BERNAMA

HANIPA JAWAB KENYATAAN PEGUAM UMNO , DATO’HAFARIZAM

petikan dari http://peguampas.blogspot.com/

Saya mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan Dato Hafarizam untuk menjawab artikel saya yang tersiar secara meluas di alam internet ini (“ Zambry perolehi perintah yang tidak laku” ) Paling kurang saya berterima kasih beliau membaca artikel saya. Terima kasih sekali lagi.

Sebagai peguam saya menghormati pendapat beliau dan bagi saya tidak salah untuk beliau mengambil keputusan menjawab artikel saya tersebut . Menyanjung roh demokrasi yang sebahagiannya adalah kebebasan bersuara , kita wajar menghormati kenyataan beliau ketika menjawab artikel saya tersebut.

Saya tidak bercadang menjawab satu persatu apa yang beliau tulis sebaliknya memadailah saya hanya menjawab isu teras yang beliau bangkitkan di dalam kenyataan beliau tersebut.

Ramai meminta saya jelaskan kenyataan beliau bahawa

"Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri itu oleh Speaker DUN Perak, V Sivakumar batal dan tidak sah, adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan"

Sebenarnya kalau para pembaca membaca tulisan saya dan memahami betul-betul apa yang saya cuba sampaikan, para pembaca akan tahu bahawa dua perintah deklarasi ( perisytiharan ) yang Zambry dan enam exconya perolehi tidak membawa apa-apa kesan .

Bagi sesiapa yang pelajari dan terdedah dengan undang-undang pentadbiran ( administrative law ) mereka akan tahu perintah deklarasi sahaja tidak cukup kuat untuk mengikat Sivakumar.

Memanglah susah nak terangkan pada mereka yang bukan ahli undang-undang ( laymen ) khususnya ahli dan penyokong Umno tentang apa dia certiorari dan apa dia mandamus kerana bukan sahaja orang awam susah untuk faham malahan tidak semua para peguam juga dapat memahaminya atau memahaminya dengan baik..

Saya tidak pasti sejauh manakah Dato ‘Hafarizam biasa dengan kes-kes semakan kehakiman ( judicial review ) dan jenis-jenis perintah ( remedies ) yang biasa dipohon di dalam kes-kes semakan kehakiman.

Bagi pihak saya dan bukan niat nak membanggakan diri, sudah hampir 16 tahun saya menjadi pengamal undang-undang dan dalam tempoh tersebut antara cabang undang-undang yang saya banyak kendalikan kes adalah melibatkan kes-kes semakan kehakiman .

Saya akui tidak semua kes saya menang tetapi pendedahan kepada undang-undang tersebut agak mungkin agak lebih sikit dari Dato’ Hafarizam ( yang juga kawan baik saya )

Saya lihat di dalam jawapan beliau kepada artikel saya , Hafarizam tidak menjawab mengapakah Zambry tidak memohon perintah certiorari ( quashed the decision of Sivakumar ) dan perintah mandamus ( supaya Sivakumar benarkan beliau dan enam exconya masuk ke dalam siding DUN Perak )

Hakikatnya apabila persoalan tersebut dibangkitkan oleh Haji Sulaiman Abdullah, peguam Zambry iaitu Encik Fairuz Hussin mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa Zambry tidak dibenarkan memohon dua perintah tersebut

Berdasarkan jawapan dari Encik Fairuz tersebut, beliau sendiri mengakui bahawa Zambry terikat dengan doktrin pengasingan kuasa - bermakna Mahkamah tidak boleh perintah untuk Speaker membuat sesuatu atau melarang speaker membuat sesuatu. Dengan lain perkataan Fairuz mengakui Zambry tidak boleh mendapatkan perintah certiorari dan mandamus ke atas Sivakumar.

Tanpa perintah certiorari dan mandamus sebaliknya hanya mendapat perintah deklarasi sahaja , ianya tidak membawa apa-apa kesan kerana perintah deklarasi tidak boleh memaksa Sivakumar membuat sesuatu atau melarang Sivakumar membuat sesuatu perkara.

Bagi orang awam mereka mungkin bertanya kenapa perintah deklarasi bersifat begitu ?

Saya boleh jawab tetapi saya jika saudara tanya begitu samalah seperti saudara tanya seorang doktor kenapa ada ubat demam dalam bentuk pil dan ada dalam bentuk minuman atau pun saudara tanya seorang Ulama kenapa solat zohor empat rakaat dan kenapakah solat subuh hanya dua rakaat ?

Di dalam kenyataannya Hafarizam menyatakan bahawa isu mengapa Zambry tidak memfailkan semakan kehakiman sebaliknya hanya memfailkan Saman Pemula sahaja tidak wajar ditimbulkan kerana Mahkamah Persekutuan telah menolak bantahan peguam Nizar berkenaan isu tersebut .

Ya, benar Mahkamah telah menolak bantahan awal peguam Nizar terhadap isu tersebut, Tetapi apa yang Hafarizam tidak jelaskan adalah meskipun Mahkamah menolak bantahan tersebut ianya tidak bermakna perintah -perintah deklarasi yang Zambry pohon sama tarafnya ( dari segi kekuatan dan keberkesanannya ) dengan perintah seperti perintah certiorari dan perintah mandamus.

Hafarizam mungkin terlupa untuk menyatakan bahawa dengan penolakan bantahan tersebut , Mahkamah , pada hemat saya, pada hakikatnya ingin menyampaikan mesej kepada Zambry dengan mesej berikut :-

a. Bahawa memandangkan kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja , kami ( para hakim ) hanya benarkan untuk kamu memohon perintah tersebut melalui kaedah Saman Pemula dan tidak melalui Semakan Kehakiman di bawah Perkara 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

b. Tapi kamu juga kena faham apabila kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja dan tidak memohon perintah certiorari dan mandamus, kami boleh beri perintah yang kamu pohon tapi jangan salahkan kami kalau perintah tersebut tidak boleh membawa apa-apa kesan pemaksaan ( coercive force ) ke atas Sivakumar.

c. Kamu sendiri harus dipersalahkan kerana tidak memohon perintah certiorari dan mandamus bagi memastikan sebarang keputusan Sivakumar bukan sahaja dapat dibatalkan tetapi juga dapat dibuang/dipadam dari rekod DUN Perak. Tanpa perintah certiorari, keputusan Sivakumar tersebut akan kekal di dalam rekod di DUN Perak kerana kamu tidak pohon untuk padamkan perintah tersebut.

d. Kalau peguam kamu sendiri mengaku bahawa kamu tidak boleh pohon perintah certiorari dan mandamus bagi memadamkan keputusan Sivakumar, mengapa kamu masih juga memfailkan permohonan saman pemula ini dan meminta kami memerintahkan perintah yang tidak membawa apa-apa manfaat untuk mencabar keputusan Sivakumar.

e. Memandangkan kamu dah berada di Mahkamah ini dan memohon perintah-perintah deklarasi ( sebanyak 10 perintah ) kami bagi jugalah sebagai “saguhati” kepada kamu iaitu dua perintah deklarasi dari 10 perintah tersebut.


Sama ada mesej tersebut difahami oleh Umno atau tidak kita lihatlah pada 7 hb Mei ini .

Rabu, 29 April 2009

QULLI HAQQ WALAU KAANA MURR(Katakanlah yang Haq walaupun Amat Pahit))

Kerja-kerja bodoh dalam PAS (2) -Oleh Ustaz Nik Abduh

http://nikabduh.wordpress.com/


Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana

Isnin, 27 April 2009

2 Tok Guru Kesayangan Ummah

Akhir - akhir ini agak keterlaluan sikap sesetengah dikalangan kita .

Melalui blog , kenyataan akhbar , ucapan di tempat awam , meeting tidak rasmi kedai kopi dan sebagainya jelas kedengaran mereka mengutuk salah seorang dari 2 Tok Guru kesayangan ummah ini .

Kalau musuh yang berbuat demikian , tidaklah menghairankan saya tetapi sangat malang dan cukup menyedihkan apabila ianya dilakukan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka juga anggota gerakan Islam .

Ucapan mereka biadab , tingkah mereka kurang ajar , tanggapan mereka jahat , lidah mereka lancang dan perbincangan mereka langsung tidak beradab , dengan hilai tawa mereka perlekehkan ulama' kita . Saya sungguh sedih dengan perkembangan sebegini . [ bukanlah ulama' itu tidak boleh dikritik tetapi Islam adalah agama yang kaya dengan adab susila atau disiplin yang mesti dipatuhi .]

Tetapi , apabila saya mengamati susur galur penglibatan mereka dengan gerakan Islam ini ternyata mereka adalah seorang yang tidak komited dengan amal Islami dan mereka gagal mengambil sepenuhnya skima pentarbiyyahan daripada manhaj perjuangan parti ini .

Mungkin sebahagian mereka adalah pimpinan tetapi mereka memanjat tangga kepimpinan parti ini melalui populariti peribadi atau kelicikan politik , tidak melalui proses pentarbiyyahan fikrah dan spiritual yang mantap . Biasanya mereka ini sangat memandang jelek kepada aktiviti - aktiviti tarbiyah dan rimas untuk turut sama menyertai gerakkerja kerohanian parti .

Kesannya ialah kepada sikap dan akhlak mereka berjamaah . Mereka menyertai gerakan Islam ini dalam keadaan separa sedar . Antara keinginan untuk berjuang dengan membawa masaalah atau beban kepada jamaah .

Mereka juga gagal memahami disiplin berjamaah dan adab ikhtilaf . Tidak hairanlah apabila berlaku perbedaan pandangan antara 2 tok guru ini , mereka segera berpuak dan menganggapnya sebagai satu perbalahan . Walhal bagi mereka yang berilmu dan bertaqwa , khilaf adalah perkara yang telah berlaku sejak zaman para sahabat rhm dan mereka tanganinya dengan sisplin yang sangat tinggi tanpa meretakkan rasa hormat mereka kepada siapa jua yang berkhilaf dengan mereka .

Jika kita selalu membaca kitab - kitab feqh mahupun kitab - kitab Tayyarat Fikriyah , kita akan dapati khilaf yang begitu banyak dikalangan ulama' , tetapi mereka lalui pengalaman khilaf ini dengan aman berpaksi kepada nilai ilmiah yang bertanggungjawab dan amanah . Malah kita akan temui bagaimana antara satu sama lain mengungkap rasa kagum mereka terhadap ilmu dan taqwa orang yang berkhilaf dengan mereka .

Tiada cemuhan dan celaan melampau kecuali dalam sempadan akhlak dan disiplin yang dibenarkan seperti perbahasan dalam ilmu tajrih wa ta'dil .

Kejahilan turut menyumbang kepada fenomena ini . Biarpun mereka adalah anggota gerakan Islam , kejahilan akan mengheret mereka terjerumus dalam kancah perlecehan akhlak dan sikap sedemikian . Justeru itu , kejahilan dalam apa jua keadaan sekalipun mestilah dibasmi . Kita tidak boleh menerima pemimpin dan anggota gerakan Islam dibiarkan kekal dalam kejahilan . Pada saya kejahilanlah ibu kepada segala masaalah yang timbul .

Tuan Guru Nik Aziz yang saya kenali

Apa pun isu yang timbul , sepatutnya kita bersabar dan tidak segera menari dengan paluan gendang musuh untuk melaga - laga antara kita terutama 2 tok Guru kesayangan ummah ini .

2 Tok Guru ini adalah permata yang tiada tara nilainya kepada ummah . Sewajarnya kita support perjuangan mereka bukan melaga dan menjatuhkan mereka . Sebelum ini saya telah menceritakan sepintas lalu pengalaman juang bersama Tok Guru Hj Hadi yang cukup bagi menampakkan kepada kita betapa sebagai anggota gerakan Islam ini , kita tidak boleh terburu - buru berprasangka terhadapnya

Tiada bezanya nilai yang dimiliki oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat . Sejak awal sewaktu menuntut di madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh , saya selalu ke kelas Tok Guru Nik Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ziq di Pulau Melaka dan juga di Dewan Zul [ pejabat PAS ] Kota Bharu .

Saya membesar dengan didikan dan curahan ilmu Ayah Ziq selain guru - guru kesayangan saya yang lain seperti Al marhum Tuan Guru Atiqullah , Tok Guru Ayah Shim , Ustaz Bakar dan Ustaz Rahim di pondok .

Ayah Ziq memang seorang sangat genius dan istemewa. Hujjah dan ilmunya cukup menarik dalam setiap ulasan dan kupasan yang dipersembahkan kepada murid - muridnya . Selain dari hidupnya diabadikan kepada kepada ilmu Ayah Ziq juga mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam dan kukuh keiltizamannya sehingga kini .

Pernah sewaktu saya mengunjungi rumah Ayah Ziq seketika dulu , Ayah Ziq menceritakan pengalamannya sebagai ahli parlimen , seorang diri memandu jauh ke Kuala Lumpur dan seorang diri pula mewakili PAS dalam parlimen ketika itu . Ayah Ziq menghadapi segala fitnah dan tohmahan Barisan Nasional berseorangan di parlimen berbanding hari ini lebih 80 ahli parlimen yang siap menggempur UMNO dan BN .

Ayah Ziq kata , kadang - kadang ana menangis seorang diri ketika memandu mengenangkan penatnya badan dan letihnya jasad mengharungi perjuangan yang sukar dan getir ini . sampai di rumah lewat - lewat malam atau awal pagi selepas memenuhi undangan ceramah di serata negara .

Dulu pastinya tidak seperti sekarang . Apabila kita sampai ke tempat ceramah , kita akan disambut meriah bagai hero atau wira . Dulu kata Ayah Ziq , terkadang orang tak jamu nasi pun , lepas ceramah balik sampai ke rumah lewat malam , isteri pun sudah tidur , masuk ke dapur tidak ada makanan lalu tidur dengan perut lapar dan mengalir air mata sementara ia belum lelap .

Begitulah antara cebisan cerita Ayah Ziq kepada saya [ yang masih segar dan mekar dalam ingatan ] semasa saya mengunjungi Ayah Ziq di rumahnya lebih 18 tahun yang lalu .

Saya cukup menghayati kisah itu kerana saya yang dhaif ini pun cuba meletakkan diri dilandasan perjuangan seperti Ayah Ziq dan saya mula aktif bersama PAS malah mula berceramah sejak usia saya 18 tahun .

Ayah Ziq seorang pejuang yang wara' dan zuhud pula sangat menekuni ibadah . Memandang wajahnya dalam - dalam , membuatkan jiwa kita hidup dan segera insaf atas kealpaan diri . Betapa kalau Ayah Ziq mengungkap kata - kata . Cukup indah dan tinggi nilai hikmahnya . Peribadi Ayah Ziq membuatkan UMNO dan BN lumpuh khas di Kelantan .

Ayah Ziq juga suka menyantuni tok - tok guru yang lain termasuk Ayah Chik yang dianggap tok guru sezaman dengannya . Ayah Ziq pernah menemplak mereka yang memperkecilkan Ayah Chik . Ayah Chik disebut sebagai seorang ulama' besar , lidahnya fasih dan ilmunya tinggi , nak cari seorang sepertinya di Malaysia hari ini tak akan kita temui ... demikianlah kata Ayah Ziq yang masih saya ingat .

Saya percaya , 2 Tok Guru ini sangat ikhlas dalam perjuangan mereka bahkan antara mereka berdua sangat rapat dan saling memahami manhaj perjuangan yang didokong . Tidak mungkin mereka boleh bertelagah . Khilaf mereka dalam pendapat yang bertunjangkan hujjah . Mereka bukan berkelahi atau bergaduh seperti sesetengah orang kita yang bertembung sampai tidak tahu batas akhlak dan hilang nilai persahabatan atau ukhuwwah Islamiyah .

Khilaf ilmi dan hujjah menjadi satu keajaiban para ulama' yang tidak mungkin difahami oleh orang yang jahil . Khilaf menjadi cambahan ilmu yang positif bagi ulama' tetapi sering dibaca pergaduhan dan perbalahan oleh sang juhala' . Akhirnya timbullah para munafik yang akan mengapi - apikan suasana untuk memanmaskan lagi suasana dan kekeliruan bagi masyarakat .

Akhirnya dalam ruang yang terhad ini , suka saya pesan agar jangan sekali - kali kita memberi ruang kepada para juhala' ini membuat onar dalam jamaah . Sebolehnya kita bimbing mereka , jika tidak berkesan , tindakan disiplin perlu dikenakan kepada mereka yang sering menghuru harakan jamaah dengan tindakan mereka yang tidak thiqah kepada pimpinan dan juga tidak wala' kepada jamaah jauh sekali untuk beradab dengan para ulama'.

PETIKAN Dari http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Jumaat, 24 April 2009

Kerja-Kerja Bodoh Dalam PAS

Petikan Dari http://nikabduh.wordpress.com/


Salam Kamunting,
Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.
Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.
Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.
Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.
Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.
Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.
Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”
Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?
Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?
Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.
Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!
Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.
Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!
Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.
Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.
Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.
Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?
Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.
Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.
Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?
Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?
Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!