Salam Kamunting,
Walau apa pun isu mengenai perpaduan Melayu Islam di Malaysia galak ditimbulkan akhir – akhir ini, PAS dan UMNO tetap sebagai kawan dan lawan. Kedua – duanya adalah manifestasi kepada jalin hubung umat Melayu dengan agama mereka sendiri, Islam, sejak negara mencapai kemerdekaan daridapa penjajahan barat yang telah berjaya memporak – perandakan kekuatan dan kejernihan akidah mereka.
Pertentangan ini hanya akan berakhir apabila kedua – duanya bersatu di dalam Islam atau keluar daripadanya. Jika mereka bersatu dalam Islam, Allah akan suakan mereka dengan musuh baru yang menentang Islam. Jika mereka keluar daripada Islam, Allah akan suakan mereka dengan musuh baru yang membawa obor Islam. Itu sunnah Allah agar ujianNya ke atas manusia kekal berlaku dan pengasingan golongan baik daripada golongan jahat terus – menerus berjalan.
Janganlah anda melihat PAS – UMNO sebagai pertembungan nafsu politik dan duniawi semata – mata. Ia pasti meletakkan anda di satu sudut yang menyukarkan dan memeningkan anda sendiri untuk memahami bagaimana ulama – ulama besar tanah air berjuang dan beristiqamah mempertahankan perjuangan PAS di masa susah atau senang.
PAS dan UMNO boleh bersatu, tetapi kesukarannya tidak mungkin semudah ajakan oleh Tan Sri Harussani. Kita perlu mendasari punca pertentangan dan mengubatinya, bukan sekadar atas desakan untuk menyelamatkan status quo politik umat Melayu tertentu.
Dalam amalan demokrasi negara, pilihan raya adalah kemuncak perang ideologi semua parti politik yang terlibat. Itulah saat emas untuk setiap parti turun serapat dan sedekatnya kepada rakyat, menerang dasar dan menjawab setiap isu yang berbangkit. Justeru pilihan raya adalah panas di mana – mana.
PRK N41 Manek Urai sedang berlangsung di Kelantan, negeri Universiti Politik Terbuka Malaysia. Kita terpaksa menuruti takdir dan ketentuanNya bahawa penggal ini adalah penggal pilihan raya kecil yang paling acap dan berentetan berlaku dari satu negeri ke satu negeri. BN gagal menurutinya apabila enggan bertarung di Penanti dengan alasan paling rapuh pernah dikemukakan oleh mana – mana parti politik tanah air.
Biarlah politik terus berkocak. Ia mengocak kepala rakyat untuk berfikir lebih ligat dan cerdik. Politik mematangkan kehidupan manusia untuk menambah ilmu dan bertanggung jawab atas diri dan sekeliling. Tiada rugi UMNO dan PAS terus bertarung. Rugi adalah apabila PAS dan UMNO saling bersatu di atas kesamaran dan kepalsuan.
Politik zalim walaupun tampak gagah tetap gagal kemudiannya. Politik bersih walaupun sukar tetap dikasihi dan disayangi kemudiannya.
Di sisi PAS, setiap langkah dan jejak di Manek Urai adalah jihad dan dakwah yang diberkati. Senang dan sakit di Manek Urai adalah amal soleh yang diharap timbangannya di neraca Allah. Satu undi yang kekal adalah istiqamah dalam perjuangan rakyat Manek Urai. Satu undi yang baru adalah langkah kanan ke jalan yang lurus. Satu undi yang berpaling tadah adalah jenayah terhadap agama yang ditakuti kemurkaanNya.
Justeru tiada yang lebih baik selain berkampung di PRK N41 Manek Urai. Semoga Allah memberkati perjuangan pendukung PAS. Ayuh sahabat pejuang, kita lawan UMNO sehabis – habisnya!
PETIKAN DARI :http://nikabduh.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan