Selasa, 14 Julai 2009

PRK MANEK URAI : PAS MESTI LAKUKAN POST MORTEM TERPERINCI

Walaupun calon PAS Haji Mohd Fauzi Abdullah diumumkan sebagai pemenang pada pilihanraya kecil Manek Urai Selasa lalu namun kemenangan dengan majoriti 65 undi mengejutkan ramai pihak samada di kalangan PAS, pemerhati politik dan pimpinan serta penyokong BN sendiri.

Haji Fauzi atau Abe Uji memperolehi 5,348 undi manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat mendapat undi 5283 undi. Majoriti kemenangan Haji Fauzi adalah sebanyak 65 undi sahaja. Sejumlah 92 undi rosak. Peratusan keseluruhan pengundi yang membuang undi adalah 10,722 undi atau 87.22 % dari pengundi keseluruhan yang berjumlah 12,293 pengundi.

Analisis awal menunjukkan PAS hanya menang di 4 peti undi dari 9 peti undi kesemuanya. Sedangkan pada pilihanraya umum lalu PAS menang di 8 peti undi dan kalah hanya 1 peti undi iaitu Manjor. Dari segi saluran pula PAS hanya menang 14 dari 27 saluran semuanya.

Undi PAS menurun sebanyak 398 dan BN meningkat sebanyak 889 undi berbanding keputusan Pilihanraya umum 2008 di mana Allahyarham Pak Su Wil memperolehi 5746 undi berbanding calon BN Zulkepli Omar mendapat 4394 undi sahaja.

Dari awal lagi pemimpin dan penyokong cukup yakin PAS akan menang selesa iaitu mungkin melebihi 1000 undi atau sekurang-kurangnya menang dengan majoriti kira-kira 500 undi tidaklah seburuk 65 undi. Jika dibandingkan dengan Pilihanraya Umum 2008 PAS mengalami kekurangan undi sebanyak.

Lebih mengejutkan pada jam 4.00 petang pada hari pengundian tersebut, Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Kelantan Haji Abdul Fatah Haron dengan nada yakin menyatakan bahawa PAS akan menang dengan majoriti lebih dari 2,000 undi memandangkan lebih dari 85 % pengundi telah keluar mengundi pada waktu itu.

Fatah berkata, jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat jam 4.00 petang.

"Saya tak ingat berapa peratusan yang diperoleh oleh PAS dan BN.

“Tetapi saya boleh kata, kita akan menang dengan majoriti hampir 2,000 undi,” tambahnya dipetik dari media internet pada hari pengundian.

Namun semuanya berubah apabila pengiraan undi dibuat di setiap peti undi. Satu demi satu keputusan yang diterima dari peti undi menunjukkan saingan amat sengit antara PAS dan BN. Malah pemimpin dan penyokong PAS berada dalam keadaan yang amat cemas sehingga pada suatu ketika PAS hanya mendahului dengan 33 undi sahaja.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato Husam Musa dalam kenyataan ringkasnya kepada media mendakwa kemenangan tipis PAS ini adalah disebabkan kegiatan pembelian undi dan rasuah yang dilakukan BN kepada pengundi-pengundi.

Menurutnya kegiatan ini jelas sekali telah dikenalpasti dan menurutnya PAS akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran. PAS juga telah membuat laporan kepada Suhakam supaya menyiasat dakwaan berlakunya politik wang dalam pilihanraya kecil tersebut.

Walau apa pun alasan yang diberi PAS mesti membuat post mortem rapi mengapa penurunan mendadak majoriti kemenangan mereka iaitu dari 1,352 pada pilihanraya umum 2008 kepada 65 kali ini.

Jika rasuah dan pembelian undi berlaku mengapa petugas PAS gagal mengesan dan mengambil tindakan sewajarnya sedangkan ianya dikatakan telah diketahui dari awal.

Mungkinkah pengundi Manek Urai termakan dengan rasuah jambatan dan 'pitis' yang diberikan oleh BN sehingga sanggup menggadaikan maruah mereka dengan kebendaan. Atau ada unsur-unsur lain yang menyebabkan pengundi beralih sokongan dari PAS kepada BN.

Suka atau tidak PAS mesti mengkaji dan melakukan post mortem terperinci dan sistematik. Langkah-langkah segera mesti diambil bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada PAS.

Petikan dari : http://mutaligat.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan