Ahad, 8 Ogos 2010

KEM SEMARAK RAMADHAN 1431H


KEM SEMARAK RAMADHAN 1431H
TARIKH: 17,18,DAN 19 RAMADHAN BERSAMAAN DENGAN 27,28,29 OGOS 2010
TEMPAT : MARKAZ PAS PARIT PECHAH MUAR
YURAN PENDAFTARAN : RM50
SASARAN :PELAJAR-PELAJAR BERUMUR 10- 12 TAHUN

UNTUK KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI:
PENGARAH PROGRAM 0196654310

Ahad, 25 Julai 2010

Ijtimak Tarbawi Pemuda Kebangsaan

Ijtimak Tarbawi Pemuda Kebangsaan

1. Insyaallah pada bulan oktober 2010 tanggal 1 , 2 dan 3 haribulan , Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Akademi Tarbiyyah Pemuda sekali lagi akan melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila satu Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaan akan dianjurkan di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu .

2. Ijtima' ini bakal menghimpun 3500 jentera pemuda yang merupakan penggerak dan pengamal tarbiyah disemua peringkat organisasi Dewan Pemuda sebelum satu lagi himpunan besar yang akan menghimpun 30 ribu petugas dan penggerak pilihanraya pemuda pada awal tahun depan di negeri Selangor atau Kedah .

3. Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaan adalah himpunan untuk memperkasakan penghayatan dan perlaksanaan amal tarbawi dalam Dewan Pemuda disemua peringkat [ Pusat , Negeri , Kawasan dan cawangan ]

4. Himpunan itu akan bermula pendaftarannya selepas solat jumaat 1 oktober 2010 [ 3.00 - 4.30 pm ] dan akan berakhir dengan solat zuhur pada hari Ahad 3 oktober 2010 [ 2.00 pm ] . Lokasi himpunan ini ialah ruang Masjid Rusila untuk aktiviti indoor sementara perkarangan Masjid Rusila [ mukhayyam \ perkhemahan ] untuk program yang bersifat outdoor .

5. Antara program menarik dan penting ialah :

  • Pembentangan kertas dan taujihat Tarbiyyatur Ruuhiyyah : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil YAB Tuan Guru Dato' Bentara Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat [ al Mursyidul Am PAS ]
  • Talaqqi [ menadah kitab ] Tafsir surah al Hujurat [ sehingga khatam dalam tempoh 3 hari ] : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]
  • Amanah Khas Amal Tarbawi oleh : Muraaqibul Am Ikhwanul Muslimin Jordan [ Penterjemah : al Fadhil Ustaz Mohd Khalil Tuan Guru Hj Abdul Hadi ]
  • Taujihat [ motivasi ] Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 1 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Dato' Yahya Othman [ mantan Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ]
  • Taujihat Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 2 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Yb. Dato' Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]
  • Pidato - pidato Tarbawi Oleh :
Al Fadhil Yb. Ustaz Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]
Al Fadhil Ustaz Dato' Hj Abu Bakar Chik [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

  • Aktiviti spiritual seperti qiamulail , munajat , al Mathurat al Kubra dan banyak lagi aktiviti yang menarik bersifat amal tarbawi akan dilangsungkan .

6. Komander program besar ini ialah al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi Akademi Tarbiyah Pemuda . Insyaallah selepas selesai retreat Dewan Pemuda PAS Pusat pada awal ogos nanti , beliau akan keluarkan arahan rasmi kepada semua peringkat [ negeri dan kawasan ] untuk mengambil tindakan selayaknya .

7. Saya mengambil langkah mengisytiharkan terlebih dahulu program ini untuk makluman awal kepada semua pihak agar mengosongkan tarikh [ 1 - 3 oktober 2010] bermula dari EXCO DPPP , EXCO DPPN sehinggalah kepada AJK DPP Kawasan dan Jawatan kuasa Pemuda cawangan [ JPC ]

8. Sementara menunggu arahan dan prosuder rasmi dari Akademi Tarbiyah Pemuda , saya harap beberapa tindakan awal bolehlah diambil sekarang , terutama tuan rumah DPP Negeri Terengganu dan demikian juga seluruh negeri kerana ia juga merupakan program induk DPPP . Sementara sasaran program himpunan ini ialah :

  • Seluruh EXCO DPPP [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh EXCO DPPN [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh AJK DPP Kawasan [ tanpa kecuali ]
[ * Juga di buka kepada semua ahli pemuda PAS yang berminat melalui pendaftaran khas direct di pejabat DPP negeri - negeri atau pejabat DPPP .]

9. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sangat mengharapkan agar seluruh pemuda dapat menghadhirkan diri atau menyertai program bersejarah ini untuk kita mengembalikan kemantapan amal tarbawi dan memperkasakan gerakkannya dalam Dewan Pemuda PAS khasnya dan dalam PAS itu sendiri secara amnya .

10. Saya juga mengharapkan para dermawan dan sukarelawan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya PAS menyemarakkan lagi obor Amal Tarbawi agar ia tidak pudar dan malap menghulurkan sumbangan material dan fizikal bagi menjayakannya . Tentunya ini tanggungjawab kita bersama bagi memastikan wajah PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah unggul di negara ini terus hebat dan berwibawa .

Petikan Dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Selasa, 9 Mac 2010

PROGRAM PAS TERUS DAPAT SAMBUTAN

Program PAS terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan rakyat negeri Melaka. Kalau dihujung Februari lalu Pemuda PAS bersama Pemuda DAP dan PKR berjaya mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Bukit Baru, Ahad lalu Pemuda PAS Melaka sekali lagi membuktikan kejayaan mereka menjayakan program yang besar. Buat kali kedua Kejohanan Bowling Terbuka Melaka yang telah dianjurkan oleh Department of Art, Culture and Spots (DACS) ewan Pemuda PAS Negeri Melaka dengan kerjasama DACS ewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil serta Jaringan Siswazah Malaysia (JASA Melaka) telah berjaya diadakan dengan meriah dan muhibbah . Program sehari suntuk itu dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ust Kamaruddin Bin Hj Sidek bertempat di Ampang Super Bowl, Mahkota Parade, Melaka.

Sebanyak 25 buah pasukan telah menyertai kejohanan ini yang datang dari pelbagai daerah dan dari NGO seluruh Negeri Melaka. Antara NGo yang mengambil bahagian ialah JASA Melaka, Dewan Siswazah UTM cawangan Melaka dan lain-lain.

Kejohanan ini telah dimulakan secara tepat jam 10.40 pagi dan berakhir pada sebelah petangnya. Setiap pasukan yang terdiri daripada 3 orang pemain di mana mereka bermain sebanyak 3 permainan (games).

Tempat pertama telah dimenangi oleh pasukan Madu Dua dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 1509, Naib Johan pula telah disandang oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil iaitu pasukan 59 dengan 1441 jatuhan pin dan tempat ketiga pula telah disandang oleh pasukan Hijera dengan 1438 jatuhan pin.

Manakala bagi jatuhan pin Individu terbanyak telah dirangkul oleh cikgu Saferi Bin Abdullah dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 1198.

Hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri Melaka, Sdr. Yuzi Yusuf dan Pengarah DACS Melaka Sdr. Azizon Borhan yang mewakili Ketua Pemuda. Hadiah untuk Johan berupa wang tunai sebanyak RM300, Medal, Sijil serta Hamper. Manakala bagi Naib Johan pula ialah wang tunai sebanyak RM200, Medal, Sijil serta Hamper dan tempat ketiga pula telah menerima wang tunai sebanyak RM150, Medal, Sijil serta Hamper.

Bagi memraikan para peserta yang mengambil bahagian, pihak penganjur juga telah menyediakan 5 buah hamper sebagai hadiah cabutan bertuah serta medal dan sijil penyertaan kepada setiap peserta.

Beberapa orang peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan penganjuran kejohanan ini kerana ianya ternyata merapatkan silaturrahim antara pemuda-pemuda dan rakyat negeri Melaka dengan Pemuda PAS.

"Selama ini kami memandang serong kepada PAS kerana kami menyangka mereka hanya bergaul dan berkawan sesama mereka sahaja dan tidak mahu terlibat dengan sukan dan rekreasi seperti ini"

"Namun kini kami faham dan yakin bahawa PAS bukan sahaja sebuah parti politik tetapi juga adalah pertubuhan dakwah dan badan kebajikan yang memainkan peranan dalam semua segi" tegas Azmi salah seorang peserta yang datang dari Padang Jambu, Melaka.

"Ucapan Ketua Pemuda benar-benar menyedarkan kami bahawa anak-anak muda mempunyai peranan yang besar dalam memastikan negeri dan negara kita terus maju dari segi fizikal dan spiritual"

"PAS terbukti bukan sahaja parti politik yang tertutup tetapi ianya jelas terbuka dan boleh berbincang dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja" kata Aizat dari Taman Merdeka.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Ustaz Kamaruddin Sidek dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa syukur di atas sambutan yang diberikan oleh para peserta yang menyertai kejohanan tersebut yang membuktikan bahawa rakyat semakin mesra dengan PAS dan tidak ada halangan bagi mereka bersama PAS dalam apa juga program.

Beliau seterusnya menekankan bahawa PAS adalah sebuah parti yang universal dan terbuka dalam apa juga keadaan di mana PAS akan sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat serta membela rakyat dalam apa juga isu dan masalah.

Disamping itu menurutnya PAS khasnya Dewan Pemuda akan terus menjalankan program kepemudaan seperti sukan, seni, budaya dan rekreasi bagi memenuhi citarasa golongan muda. Namun yang pasti katanya, PAS akan menyediakan program alternatif yang sudah semestinya tidak berlawanan dengan prinsip Islam.

petikan dari http://mutaligat.blogspot.com/

Selasa, 23 Februari 2010

Kempen Anti Zina. Vol 3

1. Kesibukan kita berpolitik samaada dari pihak Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional , negara kita hari ini tidak boleh dipalingkan dari satu musibah besar yang melanda peradaban dan tamaddun kita .

2. Saya maksud di sini ialah masaalah gejala sosial , pergaulan bebas dan zina . Pastinya ini adalah isu yang melangkaui sempadan parti yang kita dokong . Ia adalah masaalah semua yang mesti ditangani segera . Jika tidak hancurlah generasi kita .

3. Pergaulan bebas dan zina ini tidak kenal parti mana atau ideologi apa . Ada anggota Barisan Nasional yang terlibat dan ada anggota Pakatan Rakyat yang terlibat malah yang tidak menganggotai mana - mana parti pun turut terlibat.

4. Apabila agama dan moral tidak menjadi asas dan pegangan penting individu dan masyarakat hari ini , saksikanlah padah dan akibat yang terpaksa diterima dan ditanggung hari ini .

5. Negara kini sarat dengan berita yang memualkan malah membimbangkan , bagaimana generasi kita sedang membesar dalam persekitaran yang memjadi ancaman kepada akhlak dan moral mereka . Masa depan mereka kian kelam malapetaka yang sedang melanda negara ini .

6. Ini merupakan hukuman Allah swt ke atas ummat yang alpa dan leka akan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan syariatNya di atas muka bumi ini . Kuasa diberikan , mandat diserahkan tetapi mereka menjadi mabuk dengan pengaruh dan kuasa mereka lalu tenggelam dalam maksiat dan mungkar .

7. Pelaku maksiat pula makin galak sementara kegiatan mereka seperti ada pihak yang membiayainya . Selalu menjadi mangsa tangkapan hanya anak bilis dan mangsa - mangsa yang terperangkap dalam gejala maksiat ini tetapi penganjurnya , pembekalnya , penjualnya malah penaungnya sering lepas dan bebas .

8. Sampai bila perkara ini mahu dibiarkan ? Nak tunggu negara ini menjadi seperti Amerika ? atau hanya menanti seperti apa yang berlaku kepada bumi Nabi Luth ? Waktu itu , tiada apa lagi yang boleh dikesalkan kerana segala - galanya telah binasa . Kenapa tidak bertindak sekarang ? Bukankah kita semua sedar bahawa ini bahaya yang sedang melanda negara dalam keasyikan kita berpolitiking antara satu sama lain .

9. Segala undang - undang dan peraturan manusia kelihatan gagal dalam menyelesaikan masaalah yang telah membusut dan berakar dalam masyarakat kita hari ini . Telah tiba masanya negara kembali kepada ajaran Islam yang mengajar nilai pahala dan dosa sebagai benteng kukuh menyelamatkan masyarakat kita dari asakan gejala negatif ini .

10. Dari sinilah bermulanya perjuangan untuk menuntut berlakunya perubahan dalam negara kita . Bukan sahaja kita nak berubah kerana soal rasuah , kehakiman , penyelewengan , penyalahgunaan dana negara , pengkhianatan terhadap amanah rakyat tetapi juga perubahan dituntut untuk menjadikan negara selamat dan sejahtera dari pengaruh maksiat dan mungkar .

PETIKAN DARI : http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Sabtu, 23 Januari 2010

HUKUM SERTAI FACEBOOK - USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN



SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?
Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).

2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?

Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had

KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:


a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.