Selasa, 9 Mac 2010

PROGRAM PAS TERUS DAPAT SAMBUTAN

Program PAS terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan rakyat negeri Melaka. Kalau dihujung Februari lalu Pemuda PAS bersama Pemuda DAP dan PKR berjaya mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Bukit Baru, Ahad lalu Pemuda PAS Melaka sekali lagi membuktikan kejayaan mereka menjayakan program yang besar. Buat kali kedua Kejohanan Bowling Terbuka Melaka yang telah dianjurkan oleh Department of Art, Culture and Spots (DACS) ewan Pemuda PAS Negeri Melaka dengan kerjasama DACS ewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil serta Jaringan Siswazah Malaysia (JASA Melaka) telah berjaya diadakan dengan meriah dan muhibbah . Program sehari suntuk itu dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ust Kamaruddin Bin Hj Sidek bertempat di Ampang Super Bowl, Mahkota Parade, Melaka.

Sebanyak 25 buah pasukan telah menyertai kejohanan ini yang datang dari pelbagai daerah dan dari NGO seluruh Negeri Melaka. Antara NGo yang mengambil bahagian ialah JASA Melaka, Dewan Siswazah UTM cawangan Melaka dan lain-lain.

Kejohanan ini telah dimulakan secara tepat jam 10.40 pagi dan berakhir pada sebelah petangnya. Setiap pasukan yang terdiri daripada 3 orang pemain di mana mereka bermain sebanyak 3 permainan (games).

Tempat pertama telah dimenangi oleh pasukan Madu Dua dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 1509, Naib Johan pula telah disandang oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil iaitu pasukan 59 dengan 1441 jatuhan pin dan tempat ketiga pula telah disandang oleh pasukan Hijera dengan 1438 jatuhan pin.

Manakala bagi jatuhan pin Individu terbanyak telah dirangkul oleh cikgu Saferi Bin Abdullah dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 1198.

Hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri Melaka, Sdr. Yuzi Yusuf dan Pengarah DACS Melaka Sdr. Azizon Borhan yang mewakili Ketua Pemuda. Hadiah untuk Johan berupa wang tunai sebanyak RM300, Medal, Sijil serta Hamper. Manakala bagi Naib Johan pula ialah wang tunai sebanyak RM200, Medal, Sijil serta Hamper dan tempat ketiga pula telah menerima wang tunai sebanyak RM150, Medal, Sijil serta Hamper.

Bagi memraikan para peserta yang mengambil bahagian, pihak penganjur juga telah menyediakan 5 buah hamper sebagai hadiah cabutan bertuah serta medal dan sijil penyertaan kepada setiap peserta.

Beberapa orang peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan penganjuran kejohanan ini kerana ianya ternyata merapatkan silaturrahim antara pemuda-pemuda dan rakyat negeri Melaka dengan Pemuda PAS.

"Selama ini kami memandang serong kepada PAS kerana kami menyangka mereka hanya bergaul dan berkawan sesama mereka sahaja dan tidak mahu terlibat dengan sukan dan rekreasi seperti ini"

"Namun kini kami faham dan yakin bahawa PAS bukan sahaja sebuah parti politik tetapi juga adalah pertubuhan dakwah dan badan kebajikan yang memainkan peranan dalam semua segi" tegas Azmi salah seorang peserta yang datang dari Padang Jambu, Melaka.

"Ucapan Ketua Pemuda benar-benar menyedarkan kami bahawa anak-anak muda mempunyai peranan yang besar dalam memastikan negeri dan negara kita terus maju dari segi fizikal dan spiritual"

"PAS terbukti bukan sahaja parti politik yang tertutup tetapi ianya jelas terbuka dan boleh berbincang dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja" kata Aizat dari Taman Merdeka.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Ustaz Kamaruddin Sidek dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa syukur di atas sambutan yang diberikan oleh para peserta yang menyertai kejohanan tersebut yang membuktikan bahawa rakyat semakin mesra dengan PAS dan tidak ada halangan bagi mereka bersama PAS dalam apa juga program.

Beliau seterusnya menekankan bahawa PAS adalah sebuah parti yang universal dan terbuka dalam apa juga keadaan di mana PAS akan sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat serta membela rakyat dalam apa juga isu dan masalah.

Disamping itu menurutnya PAS khasnya Dewan Pemuda akan terus menjalankan program kepemudaan seperti sukan, seni, budaya dan rekreasi bagi memenuhi citarasa golongan muda. Namun yang pasti katanya, PAS akan menyediakan program alternatif yang sudah semestinya tidak berlawanan dengan prinsip Islam.

petikan dari http://mutaligat.blogspot.com/