Khamis, 30 April 2009

Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama


Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama

KUALA KRAI, 30 April (Bernama) -- Presiden dan Timbalan Presiden dalam PAS perlu dipilih daripada kalangan ulama demi masa depan parti itu, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohamad Daud.

"Kita mahu jawatan nombor satu dan dua dalam PAS kekal disandang oleh kalangan ulama," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai pencalonan beberapa pemimpin tertinggi PAS menjelang muktamar agung itu dan lebih menarik tawaran beberapa pemimpin bukan kalangan ulama menawarkan diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Mohamad berkata jika kedua-dua jawatan itu tidak diberikan kepada pemimpin bertaraf ulama, beliau khuatir keadaan itu akan merosakkan PAS pada masa depan.

Justeru, beliau tetap mempertahan kepimpinan ulama dalam barisan kepimpinan PAS pada pemilihan di muktamar agung parti itu di Shah Alam, Selangor, Jun ini.

Ditanya mengenai saf kepimpinan yang ada sekarang, Mohamad berkata kedudukan itu wajar dikekalkan tetapi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya boleh diserahkan kepada pemimpin daripada kalangan profesional atau ulama.

"Tak perlu pertikailah untuk jawatan lain itu. Jawatan lain tidak penting, kecuali untuk nombor satu dan dua," katanya.



-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan