Isnin, 9 Julai 2007

Perginya Seorang Aktivis PAS Kawasan Muar


Pagi ini ahli-ahli PAS Kawasan Muar di maklumkan bahawa saudara Nasir Ismail yang kemalangan pada 18 Jun 2007 yang lalu telah dipindahkan semula ke Hospital Muar setelah lebih 2 minggu dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Berita kemalangan tersebut turut disiarkan di blog ini pada 19 Jun yang lalu. Berita tersebut disambut dengan penuh kegembiraan kerana ianya pasti merupakan satu petanda bahawa beliau semakin pulih.

Namun kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 12 tengahari. Turut sama berada di Hospital pada waktu itu adalah Saudara Mustafha Abdul Rahman, Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Muar. Setelah dimaklumkan bahawa jenazah dijangka tiba di rumahnya di Parit Kangkong, Parit Jawa selepas Solat Asar, ramai dari kalangan ahli dan sahabat handai telah berkumpul dirumah beliau untuk menziarahi jenazah dan memberikan penghormatan terakhir.

Akhirnya Jenazah Allahyarham Saudara Nasir tiba kira-kira jam 6 petang sebelum dimandi dan dikafankan. Solat Jenazah diimami oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar, Ustaz Abu Bakar Bin Lajat dengan ratusan Jemaah sehingga melimpahi halaman rumah beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya dan ditempatkan beliau dari kalangan hambanya yang Soleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan